loading...

Saturday, 18 February 2017

Filled Under:

10 Petanda Dia Adalah Jodoh Kita Menurut Islam

JODOH, rezeki dan kematian adalah perkara misteri. Kadang kita cari yang jauh, boleh jadi jodoh kita adalah jiran kita sendiri.

Sebabnya kita sememangnya tidak tahu siapa bakal jodoh kita. Tetapi, tanda-tanda di bawah ini berkemungkinan boleh membantu anda dalam menentukan sikap ketika jodoh semakin dekat dengan seorang wanita/lelaki.

Berikut adalah 10 tanda yang menunjukkan dia adalah jodoh anda seperti dipetik dari Berkah2013, Ahad (3/3/2013):


Bersahaja

Si dia bersikap bersahaja dan tidak bersandiwara. Cuba perhatikan cara si dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa dan cara makan dan minum. Adakah spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau si dia nampak kurang selesa dengan gayanya, bermakna dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat melihat adakah si dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.


Selesa Bersamanya

Walaupun kita selalu bersamanya, tiada perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita selalu tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasakannya. Rasa selesa apabila bersama. Bila berjauhan, terasa ada tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tiada kira siang ataupun malam, jika tiada dia rasanya ada seperti yang hilang.

Menerima Seadanya

Apapun kisah silam kita yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu kisah perpisahan dengan bekas kekasih anda yang sebelum. Dia juga tidak mengungkit-ungkit masa silam anda. Yang penting, siapa anda yang sekarang. Biarpun dia tahu anda pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil kisah. Yang dia tahu, anda adalah miliknya sekarang. Dia juga mahu berkongsi kisah masa silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

Jujur

Dia tidak cerita apa yang anda lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan si dia menarik hati anda. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila seseorang menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi hak milik anda. Bila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi sesuatu hubungan. Bila si dia tidak jujur, sukar baginya untuk mengelak daripada berlaku curang. Bila si dia jujur, semakin hangat hubungan cinta anda. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

Saling Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya suatu rahsia perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Bila anda mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa tenang apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak merahsiakan apa pun kepadanya dan malah kita rasa rahsia kita pasti selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah orang yang memperoleh kedua-duanya.

Bekerjasama

Bagi anda yang mahukan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, anda dan si dia perlu saling bekerjasama melalui liku hidup ini. Anda dan kekasih anda perlulah bekerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh sekalipun. Segala pekerjaan yang dilakukan perlu disertai rasa ikhlas untuk membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Paling penting, anda dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Anda dan si dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita di masa depan.

Memahami Diri Kita

Bagi pasangan yangmempunyai jodoh, si dia harus memahami diri pasangannya. Ketika anda sakit si dia membawa anda ke klinik. Ketika berduka, si dia menjadi penghibur. Bila anda mengalami kesusahan, si dia menjadi pembantu. Di kala anda sedang bicara, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam situasi apapun. Gembira ataupun berduka, si dia sentiasa ada untuk anda. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam hubungan percintaan. Bila si dia selalu bersama anda melalui hidup ini di kala suka dan duka, senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

Papar Kelemahan

Tiada seorang pun yang sempurna di dunia ini. Bohong jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti ada kelemahan dan keburukan tertentu pada diri kita. Bagi si dia yang bersedia menjadi teman hidup anda, si dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu anda. Sudah tentu bukan hal yang menyenangkan untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, si dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada anda. Misalnya, apabila si dia bangun tidur atau sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada mengunjunginya.Apabila anda dan si dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan anda hidup bersamanya.

Kata Hati

Dengarlah kata hati. Manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria ini juga anda dapat saling memahami perasaan masing-masing. Anda dan si dia juga dapat membaca fikiran satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Bila anda yakin dengan pilihan hidup anda, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk anda? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahkanlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya adalah takdir Allah S.W.T. Manusia hanya berusaha di dunia ini dan senarionya ditulis oleh Yang Maha Kuasa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi sememangnya mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjuk-Nya. Jika si dia pilihan kita, buatlah keputusan terbaik. Jika tidak, tolaklah si dia dengan sebaik mungkin. Semua yang kita lakukan ini adalah untuk mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada Allah dan teruslah berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhiratlah yang kekal selamanya.




0 comments:

Post a Comment