KUALA LUMPUR: Pelakon dan juga artis kita Rosnah Mat Aris digantung daripada muncul dalam mana-mana program atau rancangan siaran televisyen dan radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama setahun berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Khas Jabatan Penyiaran semalam setelah menonton rakaman rancangan terbitan sebuah stesen penyiaran swasta, 'Sensasi' serta membincangkan dengan panjang lebar mengenai kata-kata yang diluahkan oleh pelakon itu dalam rancangan tersebut.
"Setelah melihat kembali rakaman program itu saya sendiri terkejut dengan apa yang diucapkan oleh Rosnah Mat Aris.
Sedutan rakaman program Sensasi oleh TV3.
"Saya mendapati apa yang beliau ucapkan itu adalah sesuatu yang terkeluar daripada norma normal masyarakat terutamanya umat Islam.
"Kata-kata beliau di dalam program yang disiarkan secara langsung itu juga boleh dan telah menyinggung perasaan umat Islam," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat pascakabinet kementeriannya di sini hari ini.
Zainuddin berkata tindakan itu juga selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan Radio Awam dan Swasta di Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang mengarahkan agar rancangan 'Sensasi' itu dihentikan siarannya.
Beliau berkata tindakan ini seharusnya dilihat sebagai satu amaran dan pengajaran kepada semua artis di negara ini untuk lebih berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan terutamanya ketika dalam rancangan berbentuk siaran langsung di mana-mana stesen penyiaran.
"Saya juga sentiasa mengingatkan kepada diri dan stesen saya (RTM) agar tidak terjebak walaupun untuk sesuatu yang sensasi, jika sensasi pun sensasi yang sopan," katanya.
Beliau berkata orang ramai yang turut menyaksikan program tersebut juga akan dapat melihat kewajaran tindakan RTM yang tidak membenarkan pelakon itu muncul di stesen itu.
Beliau berkata tindakan ini merupakan satu tanggungjawab RTM sebagai sebuah badan penyiar milik kerajaan untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni kepada masyarakat.
"Bagaimanapun, saya yakin tidak ramai artis kita yang sanggup untuk mengeluarkan kata-kata seperti mana yang telah diluahkan oleh pelakon terbabit," katanya.
Rancangan 'Sensasi' menjadi kontroversi apabila Rosnah, iaitu salah seorang panel, mengeluarkan kenyataan mengenai status usia isteri Rasulullah, Siti Khadijah yang dianggap telah mencela anggota keluarga Nabi Muhammad S.A.W.
Kenyataan beliau dalam program yang disiarkan pada 30 Jan lepas itu mendapat pelbagai reaksi dan bantahan atas kenyataan Rosnah yang dianggap menghina Rasulullah S.A.W. dan anggota keluarganya.
Berikutan kontroversi itu, TV3 yang menerbitkan program tersebut bertindak membuat rakaman program sebelum disiarkan, bagaimanapun baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan agar program itu dihentikan siarannya.
0 comments:
Post a Comment